Pembangunan Holistik
Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang diterajui oleh Y.A.B. Menteri Besar Johor, Dato' Hj. Abdul Ghani bin Othman, pada tahun 1996 telah merangka dan menggubal satu falsafah pembangunan yang dinamakan Pembangunan Holistik
Ia merupakan satu kerangka kerja agenda pembangunan negeri Johor secara terancang dan tersusun yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Menteri Besar Johor dalam usaha mewujudkan keadilan sosial di kalangan masyarakat dengan mengambil kira keperluan segenap lapisan masyarakat. Dasar pembangunan ini digubal bagi memastikan segala rancangan pembangunan kerajaan negeri mempunyai kesan limpahan kepada semua lapisan rakyat serta meliputi segenap aspek bidang pembangunan.
Dari sudut bahasa, "Holistik" adalah satu doktrin yang menyatakan bahawa keseluruhan sesuatu perkara adalah lebih penting daripada jumlah bahagian-bahagian di dalam perkara tersebut. Dalam konteks pembangunan negeri Johor, Y.A.B. Dato Hj. Abd. Ghani Othman dalam sebuah ucapan belanjawannya pada tahun 1998 menggariskan secara jelas maksud Dasar Pembangunan Holistik Johor. "Pembangunan Holistik adalah satu pendekatan yang merangkumi perkara-perkara mengenai ketaqwaan, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi."
Pembangunan Holistik yang menyeluruh ini diperkenalkan dengan mementingkan keseluruhan pembangunan iaitu secara inklusif dan bukan hanya bahagian-bahagian tertentu. Pendekatan ini mewujudkan pembangunan seimbang mecakupi kemakmuran ekonomi, pemeliharaan keadilan sosial, mempertingkat ketahanan kerohanian masyarakat melalui penghayatan agama, pengukuhan institusi keluarga, kefahaman dan penghayatan seni budaya bangsa bagi mengukuhkan identiti rakyat, pemeliharaan alam sekitar, serta pelaksanaan urus tadbir yang amanah, cekap, adil, peka, terbuka dan mesra rakyat.
Pelaksanaan Pembangunan Holistik merangkumi lapan komponen utama iaitu:
- Pembangunan dan penghayatan Agama Islam
- Penubuhan kerajaan yang adil
- Pembangunan ekonomi
- Penyediaan kemudahan asas
- Pembentukan masyarakat berilmu
- Pembangunan beridentiti
- Peningkatan kualiti hidup
- Pembentukan kerajaan cekap
Pendekatan Holistik yang diperkenalkan sejak 1996 menjadi dasar yang menaungi perjuangan membela nasib rakyat dan memastikan tidak ada satu pun kumpulan masyarakat yang terpinggir, sepanjang lapan tahun ini.
Tumpunan diberikan kepada semua lapan cabang utama pendekatan holistik dan semua ini adalah satu keperluan rakyat dan menjadikan kesejahteraan yang lebih seimbang. Sudah banyak isu dan masalah dapat diselesaikan, maka strategi dan hala tuju telah dapat ditetapkan ke arah masa depan.
Di sedari atau tidak, pendekatan ini telah memberi kesan yang positif dalam kehidupan rakyat negeri Johor. Sejak pelaksanaan kelapan-lapan sasaran dan cabang pembangunan ini, ia telah membantu memberi sumbangan kepada pembentukan keperibadian dan ketahanan rakyat negeri Johor, khususnya di kalangan generasi muda.
Elemen ini ternyata amat diperlukan demi meneruskan kesinambungan mengurus kejayaan yang dinikmati malaysia pada hari ini dengan lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Pendekatan ini bukan sahaja mencakupi kemakmuran ekonomi, malah memelihara keadilan sosial, mempertingkatkan ketahanan kerohanian, pengukuhan institusi keluarga, penghayatan seni budaya bangsa bagi mengukuh identiti rakyat serta mewujudkan urus tadbir yang amanah, cekap, adil, peka dan mesra rakyat. Setiap kegiatan dilaksanakan secara merata di seluruh pelusuk negeri dengan memasyarakatkannya secara berterusan sehingga menjadi amalan dan sebati dengan rakyat.
Pengisian pembangunan holistik ini menepati matlamat Wawasan 2020 yang mensasarkan Malaysia mencapai negara maju menurut acuannya sendiri iaitu bukan dari segi ekonomi semata-mata. Sebaliknya Malaysia mestilah menjadi sebuah negara maju dalam segala aspek ekonomi, politik, ilmu, sosial, moral, kerohanian dan kejiwaan serta kebudayaan.

